Titian Budi merupakan salah satu program yang menyuntik semangat dan nilai-nilai kemasyarakatan yang telah lama dilupakan oleh generasi masa kini. Diterajui oleh Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknlogi PETRONAS (MPPUTP), program yang akan diadakan secara berkala bermula pada 28hb May 2011 hingga 25hb September 2011 ini melibatkan toleransi dan kerjasama antara siswa - siswi daripada Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) dan penduduk-penduduk kampung yang terlibat. Tujuan utama MPPUTP menjalankan program ini adalah untuk melahirkan mahasiswa glokal yang peka dengan keadaan sekeliling serta menjadi medium perhubungan antara masyarakat luar dengan warga UTP. Mahasiswa yang terlibat dalam menjayakan program ini disemai dengan nilai-nilai positif dan adab-adab ketimuran yang menjadi tunjang perpaduan nasional untuk diaplikasikan semasa dan selepas program dijalankan. Program seperti ini juga menuntut komitmen yang penuh dari segi pengetahuan dan kemahiran para mahasiswa untuk dimanfaatkan oleh penduduk kampung setempat. Program yang juga menjadi acara tahunan MPPUTP ini turut dibantu oleh agensi-agensi kerajaan dan swasta sekaligus menjayakan gagasan 1Malaysia yang dicanang-canangkan oleh Perdana Menteri Malaysia.